HUBUNGAN antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini mentadbir negara secara bersama masih tidak renggang.
Itu jawapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa apabila ditanya mengenai hubungan antara kedua-dua gabungan itu di peringkat nasional.
Menurut Annuar, BN dan PN masih lagi berada dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya rasa apa yang berlaku ketika ini adalah lumrah politik. Masing-masing sedang membuat penyesuaian.
“Biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana iaketentuan yang tidak dapat dielakkan.
“Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan mempunyai pelbagai kaedah tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam siaran langsung di laman Facebook selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, tiada istilah ‘berpatah arang berkerat rotan’ dalam dunia politik.
Jelas beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tiada perkara yang kekal dalam politik.
“Kalau kita lihat di peringkat negeri seperti Sabah, kerajaan negerinya ditadbir GRS dan BN tetapi di pusat pula kerajaan BN dan PN. Bagaimanapun ia berjalan dengan baik.
“Apabila kita turun ke pilihan raya negeri, setiap parti cuba nasib masing-masing bertanding antara satu sama lain termasuk Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Leave a Reply