redang

Ahmad Said nafi jual tanah di Pulau Redang kepada Vincent Tan

BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau menyerahkan tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

Sambil menafikan tuduhan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa dengan jutawan tersebut.

“Tidak benar, itu adalah fitnah,” ujarnya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman, hari ini.

Menurut Ahmad, sepanjang menjadi Menteri Besar, beliau tidak pernah menyerahkan mana-mana tanah milik kerajaan negeri kepada Vincent Tan seperti dakwaan seorang individu menggunakan nama Razak Bidin di laman sosial Facebook (FB).

Ahmad berkata, beliau telah membuat carian dengan Pejabat Tanah Daerah dan mendapati tidak ada pun tanah kerajaan yang diserahkan kepada jutawan berkenaan, melainkan jika dia membeli tanah di Pulau Redang dan disenaraikan nama kepada orang perseorangan.

“Saya pun tak tahu tujuan individu itu berbuat demikian (tuduhan). Sama ada atas dasar politik atau sebaliknya, saya tidak tahu. Bagaimanapun saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhububgan UMNO Terengganu berkata, beliau juga sudah berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang membuat tuduhan berkenaan.

Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di FB beliau pada Khamis lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemilik akaun Facebook berkenaan untuk memohon maaf dan memadam hantaran mengenai dakwaan terbabit yang disifatkannya sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Saya memberi tempoh sehingga 14 hari untuk penama memohon maaf dan seterusnya memadam ‘posting’ berkenaan. Selepas tempoh 14 hari, tamat tindakan undang-undang akan diambil kerana memfitnah.

“Saya meminta kepada pihak berkenaan, usahlah mereka cerita seperti ini dengan membuat tuduhan yang tidak betul semata-mata mahu mencari publisiti memandangkan PRU-15 yang semakin hampir.

“Berpolitiklah secara matang dan rasional tanpa rekaan cerita fitnah yang tidak benar,” ujar beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *