MESKIPUN sudah berpisah hampir tujuh tahun, bekas isteri pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel tetap membantu anak-anak menjaga dan menguruskan Allahyarham sehingga akhir hayatnya di kediaman di Taman Matahari Height, Senawang, di sini.
Anas Salmee Syed Mohamad, 53, berkata perasaan sayang, hormat dan rasa tanggungjawab mendorong dirinya untuk menjaga Allahyarham.
Beliau mula menjaga bekas suaminya itu pada Mac 2020 selepas Amran Tompel diserang angin ahmar kali ketiga yang menyebabkan dirinya terlantar selain mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.
“Hubungan saya dengannya selepas berpisah pada Mei 2015 tetap baik malah kami sering bertanya khabar. Berakhirlah urusan arwah di dunia ini dan kami bersyukur dapat mengurus dan menjaga arwah sehingga akhir hayatnya.
“Melihat keadaan kesihatannya semakin merosot pada hujung tahun lepas, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anaknya di Seremban, hari ini.
Anas Salmee berkata jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang kira-kira pukul 10 malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata Allahyarham tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang beliau sakit terlantar.
“Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh, saya akan tengok dia sekejap…bagi dia makan dan pastikan makan ubat mengikut masa namun sejak beberapa hari ini keadaan dia agak murung dan tidak memberikan respons seperti biasa serta tiada selera makan,” katanya.
Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun disebabkan sakit tua.
Allahyarham meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun dan Amran adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an.
— BERNAMA
Leave a Reply