Oleh RAHIMI MOHAMAD
KESEMUA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Johor menegaskan, mereka perlu merealisasikan janji tersebut mengikut portfolio masing-masing yang sudah ditetapkan dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah ketika melaksanakan tugas.
Baginda bertitah, kini bukan lagi masa untuk berbulan madu kerana kepentingan negeri dan rakyat mesti sentiasa diutamakan dan Exco-Exco juga perlu bekerjasama dengan semua pihak.
“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.
“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, baginda berkenan melantik seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di Johor Bahru, hari ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Antara Exco yang dilantik ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap); Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor (Bukit Permai); K. Raven Kumar (Tenggaroh); Khairin Nisa Ismail (Serom); Mohd Hairi Mad Shah (Larkin) dan Mohd. Fared Mohd. Khalid (Semerah).
Turut mengangkat sumpah ialah Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) dan Norliza Noh (Johor Lama).
Tegas Sultan Ibrahim, kesemua Exco berkenaan juga perlu menjalankan tugas dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain.
Leave a Reply