MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei ini.
Beliau dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.
Katanya, ia dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki kesemua ujian itu yang dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac ini.
“Calon tersebut adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.
“LP ingin mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April ini,” katanya.
KPM berkata, semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.
Katanya, jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my juga pada 1 April ini.
“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM,” katanya.
KPM memberitahu, ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 dan rujukan garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.
Dr. Radzi berkata, pastinya calon serta ibu bapa yang anak-anak mereka tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2021 akibat Covid-19 atau terkesan dengan bencana banjir ternanti-nanti pemakluman tarikh baharu untuk mereka menduduki peperiksaan tersebut
Leave a Reply