MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan telah membatalkan keahlian ahli bersekutunya, Malaysian Dance Sport Berhad (MDSB), selaras perlembagaan majlis itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia berikutan MDSB telah hilang pengiktirafannya daripada persekutuan antarabangsa iaitu World DanceSport Federation (WDSF).
Di bawah artikel 24.2 perlembagaan MOM, ahli berdepan kehilangan status keahliannya jika tidak lagi menjadi ahli persekutuan antarabangsa.
“Keputusan ini diambil setelah mendapat konsultasi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), WDSF dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM di Putrajaya, hari ini.
Mohamad Norza berkata, perkembangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan nasib atlet sukan itu yang dijadual membawa cabaran negara di temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi Mei ini dengan mereka akan bertanding di bawah naungan MOM.
Katanya, setakat hari ini jumlah kontinjen negara ke temasya Sukan SEA Vietnam adalah seramai 884 orang terdiri daripada 604 atlet dan 280 pegawai.
Sementara itu, mesyuarat hari ini turut meluluskan pelantikan doktor pasukan kontinjen Malaysia ke tiga temasya sukan utama tahun ini iaitu Dr. Ahmad Munawwar Helmi Salim bagi Sukan SEA Vietnam, Dr. Kamarul Hashimy Hussein (Sukan Komanwel Birmingham) dan Dr. Azril Syazwan Mohd Ali (Sukan Asia Hangzhou).
Dalam pada itu, mesyuarat turut meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara Abdul Rashid Yaakob sebagai Ketua Kontinjen baharu ke temasya Sukan Perpaduan Islam Ke-5 Konya 2022 menggantikan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin yang menarik diri.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata MOM menyeru Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula ekosistem kewangan bagi membolehkan lebih banyak sumber kewangan dapat disalurkan bagi tujuan pembangunan sukan negara. – Bernama
Leave a Reply