Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG lelaki yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa ditemukan mati akibat bergaduh dengan beberapa kesan kecederaan pada badan di sebuah bangunan di Jalan Ampuan, Kluang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.54 malam itu, polis yang menerima maklumat melalui talian MERS 999 berkaitan pergaduhan itu bergegas ke tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, mangsa berusia 45 tahun dipercayai bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penjaga tokong.
Katanya, motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana mangsa dan suspek sebelum ini dipercayai pernah bergaduh.
“Sebaik tiba, polis menemukan seorang lelaki terbaring dan berlumuran darah di mana mangsa disahkan telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.
“Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang warganegara tempatan yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hang Seng berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Selanjutnya pasukan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk siasatan,” katanya.
Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah Hang Seng, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256.
Leave a Reply