JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 38 warga asing dari pelbagai negara dalam Op Selera di Taman Puchong Prima, Puchong, malam tadi.
Serbuan tersebut dilakukan selepas penduduk tempatan bimbang dan rimas dengan kehadiran mereka yang sering mengganggu ketenteraman awam antaranya sering berkumpul dalam keadaan mabuk dan membuat bising di sebuah restoran di situ.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kehadiran sekumpulan individu warga Afrika yang sering berkumpul di restoran berkenaan dua bulan lalu.
“Hasil risikan dilakukan di lokasi terbabit, kami membuat serbuan Op Selera di restoran berkenaan pada jam 8.15 malam dan memeriksa 58 individu membabitkan 20 individu tempatan serta 20 warga asing.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 38 warga asing termasuk 25 warga Afrika. Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga Nigeria termasuk enam kanak-kanak serta seorang wanita warga Guinea.
“Selain itu, kami turut menahan 13 wanita membabitkan 10 warga Thailand serta tiga warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro, selepas sidang media di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.
Dalam serbuan itu, beberapa individu warga Afrika juga dilihat bertindak agresif, namun berjaya dikawal anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas.
Khairul Dzaimee berkata, semakan dilakukan terhadap semua warga asing berkenaan tidak mempunyai pasport.
“Berdasarkan aduan dibuat penduduk setempat, mereka ini (warga Afrika) selalu lepak di restoran berkenaan dan membuat bising serta mabuk selain memandu kenderaan secara melulu.
“Malah, mereka juga dilihat memandu secara melulu dan berbahaya di sekitar kawasan terbabit hingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.
“Perkara itu menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat sebelum mereka tampil membuat aduan kepada kami. Malah, premis itu juga pernah diserbu oleh kami sebelum ini,” katanya.
Katanya, semua warga asing berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Leave a Reply