pelan komprehensif jabatan penjara kad pelarian hamzah zainudin tahanan etnik rohingya jangan naik kepala

Hamzah akan bentang semula usul SOSMA sebelum Julai

KERAJAAN akan membentangkan sekali lagi usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun lagi selepas ia gagal mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembentangan itu akan dibuat sebelum tempoh penguatkuasaan penahanan selama 28 hari bawah SOSMA tamat 31 Julai ini.

“Soalannya kita mesti dapatkan semula persetujuan daripada Parlimen untuk kita sambung Julai ini sebelum tamat (penguatkuasaan penahanan 28 hari bawah SOSMA) pada Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, lapor FMT.

Ditanya sama ada rundingan dengan wakil pembangkang akan dilakukan sebelum pembentangan semula memandangkan Pakatan Harapan (PH) mendakwa usul tersebut sebelum ini tidak dibincang sebelum dibentang, Hamzah menjelaskan, isu itu tidak sepatutnya timbul memandangkan ia tiada kaitan dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

“Ceritanya senang, mereka menggunakan alasan seolah-olah tak bincang, itu politik. Saya pun boleh kata dalam MoU itu (usul pelanjutan Subseksyen 4(5) tidak ada, sebab ini bukan nak gubal undang-undang, undang-undang sudah ada, ini hanya usul untuk lanjut sahaja.

“Dalam MoU itu untuk gubal undang-undang yang baharu, betullah yang itu kita kena duduk bincang, tapi yang ini undang-undang dah ada. Jadi semua orang kena faham ini untuk kepentingan negara. Tak boleh nak gunakan isu ini untuk kata nak tunjuk kekuatan pembangkang, tak boleh,” katanya.

Hamzah berkata, beliau akan menggunakan segala peruntukan perundangan yang ada untuk memastikan usul itu akan terus berkuat kuasa selepas Julai ini.

Rabu lalu, usul kerajaan di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa SOSMA selama lima tahun lagi gagal diluluskan dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 85 orang, manakala tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi tidak hadir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *