Oleh RAHIMI MOHAMAD
SUDAH tiba masanya untuk merombak silibus pendidikan, titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Baginda berpendapat, individu daripada semua peringkat umur tanpa mengira status atau latar belakang harus mempunyai akses yang mudah kepada peluang pendidikan untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka.
Titah Tunku Ismail, adalah penting pendidikan berkualiti diberi kepada rakyat khususnya golongan belia bagi membantu mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup.
“Akses kepada pendidikan merupakan perkara yang sentiasa dekat di hati saya. Pandemik Covid-19 telah menunjukkan kepentingan kepada seseorang individu agar menjadi celik teknologi dan kemahiran itu adalah sesuatu perkara yang amat penting.
“Belia kita perlu memiliki kemahiran yang mencerminkan keperluan dunia dinamik yang sentiasa berubah. Kita perlu merapatkan jurang antara kualiti graduan kita dengan tuntutan pasaran kerja,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tunku Ismail, untuk manfaat jangka panjang negeri Johor pula, pihak terlibat perlu meneroka idea untuk memastikan belia negeri itu serba lengkap dan terdidik untuk menyahut cabaran masa depan.
“Selain pengetahuan, kita juga memerlukan inisiatif dalam pembangunan sahsiah dan mendidik belia kita menjadi individu yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berbelas kasihan.
“Belia Johor layak belajar daripada yang terbaik untuk berkembang dan menjadi individu dewasa yang berjaya,” titah baginda.
Tunku Ismail bertitah, baginda akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem pendidikan di Johor pada masa depan.
Leave a Reply