TINDAKAN pembangkang menolak usul dikemukakan kerajaan di Dewan Rakyat, tidak mendatangkan kesan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi turut menyatakan bahawa usul tersebut bukan sebahagian daripada MoU yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian daripada MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan, dan penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut.
“Saya juga mengambil maklum pertemuan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri siang tadi, dan komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Antilompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.
Menurut Anwar, beliau telah mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya berkaitan usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
“Penghargaan saya buat seluruh saf pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, usul Hamzah untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.
SEMENTARA itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menegaskan perkara yang sama.
Beliau berkata, selepas undian usul tersebut, dia bersama Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan Presiden Amanah Mohamad Sabu telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjelaskan bahawa usul tersebut bertentangan dengan pendirian PH.
Ini kerana menurutnya, PH akan memberikan sokongan penuh kepada dua usul dan rang undang-undang yang diperincikan dalam MoU antara PH dan kerajaan.
“Dalam usul Sosma ini, tidak ada apa-apa rundingan dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan pada hari ini.
“Jadi kita bebas mengambil pendirian kita dan itu memang konsisten dengan pendirian kita bahawa Sosma itu perlu bagi dilihat kembali dan dikaji semula. Saya nak bagitahu di sini, ini tidak bermaksud kita telah melanggari MoU kita antara PH dengan kerajaan kerana usul berkenaan Sosma ini ataupun usul-usul lain ini dia tak ada berkaitan dengan MoU,’’ katanya laporan Malaysiakini.
Beliau menegaskan, MoU di antara PH dengan kerajaan ialah hanya dua perkara sahaja yang kita akan mengambil pendirian berkecuali ataupun tidak Perdana Menteri.
“Jadi selain daripada dua perkara ini, yang kita perlu rundingkan bersama sekiranya ada apa-apa usul atau RUU ini, maka untuk semua RUU atau usul-usul yang lain perlulah dirundingkan dengan kita terlebih dahulu,” katanya.
Menyifatkan kegagalan melanjutkan usul tersebut sebagai satu sejarah yang luar biasa dalam Dewan Rakyat, Loke menekankan bahawa ahli-ahli parlimen pembangkang bertindak sedemikian kerana ia adalah hak mereka sebagai ahli Parlimen.
“Tetapi MOU kekal. Tapi syaratnya itu adalah apa yang dijanjikan itu mesti dibawa oleh kerajaan dan kita menaruh harapan bahawa Perdana Menteri akan menunaikan janjinya untuk membawa pindaan perlembagaan pada bulan Ramadan ini. Jadi kita harap itu akan berlaku dan kita akan berikan sokongan penuh,” katanya.
Loke berkata, pembangkang juga akan memberikan komitmen untuk memberikan sokongan terhadap RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengecualikan nama-nama kerabat diraja, sultan-sultan dan juga pewaris-pewaris raja daripada tersenarai di daftar pemilik yang dijangka dibawa esok.
Leave a Reply