Pengembara udara Malaysia-Singapura tak perlu kuarantin tapi lakukan ujian Covid-19

SEMUA pengembara antara Malaysia dan Singapura yang telah lengkap vaksinasi menggunakan pengangkutan udara tidak perlu lagi menjalani kuarantin dan melakukan pengujian Covid-19 semasa ketibaan.

Sebaliknya, pengembara tersebut hanya perlu melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas sama ada dari Malaysia atau Singapura.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung protokol perjalanan sempadan udara bagi pengembara antara Malaysia dan Singapura.

Menurut Khairy, pengembara yang merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura pula tidak perlu menjalani kuarantin serta melakukan ujian sebelum atau semasa ketibaan seperti diumumkan Perdana Menteri kedua-dua negara.

“Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

“Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

“Dari segi kekerapan, tiada lagi kuota untuk jalan darat, semua kategori pengangkutan boleh menggunakan sempadan sama ada Tambak Johor atau Linkedua.

“Bagi pesawat pula, kedua-dua kerajaan menyerahkan kepada syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan dari sudut komersial, tiada lagi sekatan, semua dibuka,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan protokol perjalanan sempadan darat bagi Thailand dengan hanya dua pintu sempadan dipersetujui dibuka mulai 1 April ini.

Kata beliau, ia melibatkan sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

“Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

“Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *