Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada Sabtu ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah menyerahkan senarai barisan Exco terlibat sudah dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim pada pagi ini.
“Sultan Ibrahim memperkenankan majlis angkat sumpah Exco diadakan pada Sabtu ini di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di sini.
“Menjunjung kasih Tuanku,” katanya menerusi Facebook miliknya pagi ini.
Pada 15 Mac lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene.
Beliau menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.
Antara nama yang disebut-sebut menjadi Exco iaitu ADUN Larkin, Mohd. Hairi Mohd. Shah, ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Semerah, Mohd. Fared Mohd. Khalid dan ADUN Bukit Pasir, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Ini termasuk ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin; ADUN Tenang, Haslinda Salleh; ADUN Senggarang Mohd. Yusla Ismail, ADUN Tenggaroh, K. Raven dan ADUN Pemanis, Anuar Abdul Manap.
Leave a Reply