Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SELEPAS lebih seminggu pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor, beliau hari ini memaklumkan sudah mendapat perkenan Sultan Johor untuk majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu.
Beliau yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac lalu memaklumkan dalam Facebook rasminya, sudah menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pagi ini.
Baginda juga memberi perkenan untuk mengadakan majlis angkat sumpah Exco pada Sabtu ini di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene.
Onn Hafiz sudah mempersembahkan senarai barisan Exco terlibat kepada Sultan Ibrahim dan setakat ini dilihat tidak mempunyai masalah.
Terlerai sudah persoalan bila Exco Johor akan mengangkat sumpah kerana sejak pelantikannya, beliau sukar didekati media dan sehingga hari ini masih belum diadakan sidang akhbar selepas menjadi Menteri Besar Johor.
Sebelum ini beliau seakan ‘lari’ daripada media dan sikapnya seperti tidak berubah semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor yang kurang mesra media.
Menerusi muat naik terkini Onn Hafiz dalam Facebooknya hari ini berkenaan senarai nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipersembahkan kepada Sultan Johor, tidak diberikan sebarang klu sama ada barisan Exco baharu itu gandingan muka baharu atau lama.
Namun antara nama yang disebut-sebut menjadi Exco ialah ADUN Larkin, Mohd. Hairi Mohd. Shah, ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Semerah, Mohd. Fared Mohd. Khalid dan ADUN Bukit Pasir, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Ini termasuk ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin; ADUN Tenang, Haslinda Salleh; ADUN Senggarang, Mohd. Yusla Ismail, ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar dan ADUN Pemanis, Anuar Abdul Manap.
Jika benar senarai tersebut, ini merupakan barisan Exco yang baharu dan semuanya tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan kecuali mempunyai jawatan dalam parti masing-masing.
Antaranya Mohd. Hairi, 37, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Johor, Raven Kumar, 39, (Ketua Pemuda MIC kebangsaan) dan bekas Ahli Parlimen Sekijang dari 2013-2018, Anuar Abdul Manap, 45, (Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang).
Gandingan ini yang melibatkan semua muka baharu seakan tidak memberi keseimbangan terhadap pasukan Exco yang bakal dibentuk nanti kerana tiada bekas Exco dilantik semula supaya pengalaman dapat dikongsikan.
Sewajarnya beberapa bekas Exco semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum ini diberi peluang iaitu ADUN Layang Layang, Abd. Mutalip Abd. Rahim (bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri) dan ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Kebudayaan dan Warisan Kerajaan negeri).
Abd. Mutalip yang berkelulusan dalam bidang agama cemerlang semasa memegang jawatan tersebut manakala Zulkurnain boleh diberi peluang walaupun kurang menyerlah semasa memegang jawatan itu.
Pengalaman mereka sedikit sebanyak mungkin boleh membantu barisan Exco yang baharu dan rakyat Johor amat berharap mereka tidak akan menjadi boneka sebaliknya jujur dan benar-benar berkhidmat untuk rakyat.
Bangsa Johor tidak mahu ‘dikecewakan’ sekali lagi. Apatah lagi sebelum ini pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO Johor menjadi ‘budak suruhan kluster mahkamah’, jadi barisan Exco baharu kali ini perlu menebus maruah dan berkhidmat dengan baik.
Ini sudah tentu memberikan cabaran yang sangat besar kepada pasukan Onn Hafiz kerana mempunyai barisan Exco tanpa sebarang pengalaman. Mereka perlu cepat belajar dan menimba pengalaman kerana tiada lagi istilah ‘bulan madu’.
Mungkin akan ada kebimbangan apabila barisan Exco kali ini semuanya daripada BN – tidak seperti sebelum ini yang turut dianggotai wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Empat Exco daripada Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dilihat menjadi ‘mata dan telinga’ Perikatan Nasional (PN) sekali gus menghalang atau menyukarkan Exco BN atau UMNO terlibat salah guna kuasa dan rasuah.
Sultan Johor mencadangkan supaya calon-calon Exco yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta termasuk juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini adalah satu cadangan yang baik. Namun lebih berkesan apabila barisan Exco berkenaan mengisytiharkan harta selepas setahun dilantik kerana pada masa ini, mereka mungkin masih ‘bersih’ kerana belum menjadi Exco.
Memang tidak dinafikan terdapat calon-calon berkenaan sudah kaya sebelum menjadi Exco. Cadangan supaya membuat pengisytiharan harta sebelum dan selepas setahun menjadi Exco adalah paling ideal.
Banyak tugas-tugas berat yang menanti Onn Hafiz dan barisan Exco beliau nanti. Antaranya isu pertumbuhan ekonomi yang lembab paska Covid-19 serta proses dan persediaan Johor menghadapi fasa endemik.
Ini juga termasuk usaha dilakukan kerajaan negeri sebelum ini dalam melobi dan mempengaruhi kerajaan Persekutuan dalam pembukaan sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura atau fasa keempat.
Ketika ini pembukaan sempadan itu masih lagi dalam fasa kedua dan rakyat tertanya-tanya, adakah sempadan benar-benar akan dibuka sepenuhnya pada 1 April ini dan keadaan kembali pulih seperti sebelum ini.
Ini termasuk juga meneruskan visi dan misi serta menunaikan janji manifesto BN seperti yang ditawarkan Pengerusi BN Johor. Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bukan itu sahaja, Mneteri Besar Johor, barisan Exco dan semua ADUN kerajaan sudah tentu perlu mempunyai keberanian, semangat juang dan ‘benteng yang kuat’ apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang nanti.
Ini kerana walaupun pembangkang tewas dalam PRN Johor tetapi nama-nama antaranya ADUN Perling, Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) dan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz (Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia) akan masuk DUN Johor buat pertama kali.
Umum mengetahui Chin Tong adalah seorang kritis dalam melemparkan persoalan manakala Amira Aisya pula adalah seorang pendebat terkemuka. Sudah tentu banyak isu diutarakan mereka akan ‘menggoncang’ sidang DUN Johor nanti.
Walau apapun kini adalah masa untuk bekerja dan kurangkan berpolitik. Onn Hafiz dan barisan Exco nanti diharapkan tidak mengulangi kesilapan BN terdahulu yang mementingkan kroni dan penyokong mereka.
Semua peruntukan perlu diberi sama rata dan Bangsa Johor harus dilayan seadil-adilnya termasuk peruntukan kerajaan disalurkan di semua kawasan pembangkang supaya tidak ada yang tercicir.
Selamat menjalankan tugas dan semoga Allah memudahkan segala urusan Onn Hafiz menerajui pentadbiran kerajaan negeri dengan penuh berhemah, berintegriti serta tidak akan dikacau ganggu.
Diharapkan nanti tidak berlaku ‘rumah siap pahat berbunyi’.
Leave a Reply