KDNKA rampas barang seludup RM10.6 juta

JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merampas RM10.6 juta menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK) pada 26 Februari sehingga 22 Mac lalu.

Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rampasan tersebut melibatkan lapan siri serbuan membabitkan operasi sindiket penyeludupan kontraban, hidupan liar dan penyelewengan barangan kawalan.

“Dalam operasi pertama pada 26 Februari polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Klang dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Serbuan kedua pada 8 Mac lalu menerusi Op Kontraban berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor dan menahan lelaki tempatan selain merampas 183,160 batang rokok bernilai RM383,265,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Menurutnya, operasi ketiga dijalankan pada 9 Mac menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas tiga ekor haiwan marmoset di Subang Jaya, Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM60,000.

“Hasil operasi berkenaan membawa kepada serbuan di kedai milik suspek sekali gus merampas 70 burung pelbagai jenis dan warna dengan jumlah rampasan sebanyak RM260,000.

“Susulan serbuan dan operasi ketiga membawa kepada satu lagi serbuan berasingan pada tarikh yang sama di Seri Kembangan dan menahan seorang wanita warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, serbuan kelima dijalankan pada 16 Mac menerusi Op Kontraban di mana sindiket menjual minuman keras bebas cukai berjaya ditumpaskan di Kepong, Kuala Lumpur.

“Serbuan ini berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Turut dirampas adalah minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter dan minuman keras jenis liquor sebanyak 1,306.88 liter bernilai RM465,845.74, selain itu turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM736,658.99.

“Sementara itu, serbuan keenam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Puchong, Selangor pada 17 Mac lalu dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

Katanya, serbuan ketujuh yang dijalankan pada 18 Mac turut berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Temerloh, Pahang membabitkan nilai rampasan RM1 juta.

“Sementara serbuan terakhir dijalankan pada 22 Mac lalu menerusi Operasi Penyelewengan barangan kawalan di Semporna, Sabah polis menumpaskan sindiket penyeludupan petrol membabitkan rampasan RM5.5 juta selain menahan tujuh lelaki tempatan.

“Berdasarkan statistik keberhasilan berjaya melaksanakan 16 serbuan dan menahan seramai 26 individu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *