JOHOR sedang melakukan persiapan bagi memastikan keselesaan rakyat Malaysia dan Singapura apabila sempadan negara dibuka 1 April ini.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Persekutuan turut memberi bantuan agar persiapan yang terbaik dapat dilakukan.
“Insya-Allah, Johor dengan bantuan kerajaan Pusat sedang membuat segala persiapan yang termampu untuk memastikan keselesaan rakyat Johor, Malaysia dan Singapura apabila sempadan kita dibuka nanti.
“Saya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bagi melihat persediaan pembukaan semula sempadan negara.
“Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bersama,” katanya menerusi muat naik terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mencadangkan sempadan dibuka mulai 1 Mac lalu.
Selepas beberapa kali desakan Muhyiddin dan penangguhan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini.
Sementara itu dalam ‘posting’ berlainan, Onn Hafiz memaklumkan berpeluang berjumpa dan berbincang dengan Ismail Sabri tentang pembukaan semula sempadan Johor-Singapura di Kuala Lumpur, hari ini.
“InsyaAllah, ada berita baik berkenaan pembukaan semula sempadan Johor-Singapura dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Semoga setiap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Leave a Reply