
KEHANGATAN pemilihan PKR pada Mei ini mulai dirasai apabila bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang membuat kemunculan semula dalam gelanggang politik dikatakan mula menyusun pasukannya.
Rafizi yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selepas kedudukan itu kosong berikutan langkah Datuk Seri Mohamad Azmin Ali meninggalkan parti itu dilaporkan akan membentuk sebuah pasukan melibatkan nama besar.
Apa yang menarik perhatian memetik laporan Malaysiakini, turut berada dalam senarai Rafizi ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang.
Mereka antara empat calon bagi jawatan Naib Presiden bersama seorang ketua Pemuda Negeri, Ketua Wanita, Timbalan AMK dan Timbalan Wanita PKR.
“Sementara, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalan ketua penerangan Manivanan Gowin merupakan dua lagi calon untuk empat jawatan naib presiden dipertandingkan semasa pemilihan parti. Bagi sayap Wanita, ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail diangkat sebagai calon ketua Wanita dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek untuk jawatan timbalan ketua Wanita.

“Sementara Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol akan berganding dengan Adun Rawang Chua Wei Kiat masing-masing untuk jawatan ketua pemuda dan timbalan ketua pemuda,” kata sumber kepada Malaysiakini.
Biarpun kemunculan semula Rafizi dikatakan ‘tidak disenangi’ oleh beberapa pemimpin dalam PKR namun pada masa sama, beliau yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden PKR dilihat mampu memulihkan sokongan kepada parti yang dikatakan semakin luntur.
Kekalahan teruk di beberapa pilihan raya termasuk di PRN Johor membuktikan PKR memerlukan nafas baru dan gandingan lebih mantap bagi memastikan PKR itu tidak terus ditolak rakyat dalam PRU-15.
Langkah Rafizi ‘yang menarik’ Nurul Izzah untuk bersama dengan beliau dilihat langkah strategik kerana ia mampu menarik perhatian golongan muda memandangkan Nurul Izzah dilihat sebagai pemimpin pelapis PKR termasuklah menggantikan kedudukan ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti itu.
Namun begitu sebelum Rafizi mengatur langkah seterusnya beliau perlu melepasi cabaran pertama iaitu memenangi jawatan Timbalan Presiden yang dikhabarkan akan turut ditandingi oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun pemerhati politik melihat peluang Rafizi lebih cerah jika ahli-ahli PKR berpendapat sudah tiba masanya parti itu dipimpin oleh barisan yang lebih bertenaga dalam usaha meraih sokongan pengundi. Pada masa sama ada juga ‘suara-suara nakal’ yang meminta Rafizi bertanding mencabar Anwar bagi jawatan Presiden.
Mungkin biarpun dilihat ‘suara-suara nakal’ tetapi ada pihak yang berpendapat pengaruh Anwar semakin merudum dan PKR memerlukan nafas baru dalam barisan kepemimpinannya.
Bersandarkan prestasi buruk PKR dalam pilihan raya sejak kebelakangan ini, gandingan Rafizi bersama Nurul Izzah dijangka mampu memulihkan sokongan kepada parti itu.
Setakat ini Rafizi dilihat lebih selesa memburu jawatan nombor dua parti itu manakala Nurul Izzah di kerusi Naib Presiden. Tetapi biarpun tidak mencabar Anwar namun kehadiran Rafizi-Nurul Izzah mampu memberi impak kepada usaha memperkukuhkan kembali PKR yang kini dilihat semakin ‘hilang taring’ sebagai pembangkang.
Soalnya mampukah Rafizi mengembalikan ‘taring’ kekuatan PKR…hanya masa yang akan menentukan tetapi yang pasti, ramai menanti apakah reaksi penyokong kuat Anwar berikutan kehadiran Rafizi apatah lagi bergandingan bersama Nurul Izzah.
Leave a Reply