Oleh RIZQI ZABIDI
KERAJAAN negeri Kedah tidak perlu diganggu dan perlu dibenarkan mentadbir hingga penggal berakhir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, barisan ADUN-ADUN pembangkang juga tidak mempunyai masalah terhadap perkara itu.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, tindakan melompat parti yang bakal membawa kepada tumbangnya kerajaan sedia ada hanya mengakibatkan keadaan menjadi tidak stabil.
“Kalau berlaku sebelah sana (kerajaan) lompat ke sebelah sini (pembangkang) dan kerajaan tumbang, kira rasa itu akan tidak mentsabilkan keadaaan. Sudah-sudahlah lompat parti ini.
“Kita ‘okey’ saja kalau nak biarkan kerajaan sedia ada ini terus ‘rapat’ sampai habis penggal. Tadi perkara ini dah dicadangkan oleh ADUN Bayu, Abd. Nasir Idris (Pas) dan saya setuju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.
Sementara itu Mukhriz turut menyatakan pandangannya agar undang-undang mengenai anti lompat parti turut diusulkan di peringkat negeri.
“Saya tahu perkara ini dah dibincangkan di Parlimen tetapi tak dibentangkan pun. Rasanya tak salah kalau di peringkat negeri pun kita usulkan akta baharu berkaitan anti lompat parti.
“Tapi kena fikir betul-betul apa impaknya nanti. Tujuan dan niatnya kena jelas iaitu untuk menstabilkan politik negeri serta menghormati mandat diberikan rakyat sewaktu pilihan raya,” katanya.
Leave a Reply