Titah Sultan Nazrin adalah satu pencerahan, panduan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TITAH Sultan Perak supaya anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik disifatkan sebagai satu pencerahan dan panduan untuk golongan itu memilih pemimpin terutama pada pilihan raya.

Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah berkata, ini kerana golongan muda dan juga rakyat secara amnya keliru dengan senario semasa yang melihatkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ayahanda Johor berkata, titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu boleh dilihat sebagai satu penyelesaian untuk orang muda memilih kerajaan bersih dan dapat membela nasib mereka.

“Kami sokong dan menjunjung titah Sultan Nazrin yang menyuburkan dan menjadikan amalan demokrasi di negara ini lebih sihat. Apa yang paling penting semuanya itu dituntut dan menepati kehendak agama.

“Sultan Nazrin amat prihatin dengan perkembangan orang muda dan mahu mereka tidak tersilap langkah. Sudah menjadi tuntutan dalam Islam supaya memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri seperti dititahkan baginda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Nazrin bertitah supaya anak muda dibimbing agar memiliki tahap literasi politik kerana penting untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

“Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Perak bertitah, tarikh 16 Julai 2019 merupakan detik penting dalam sejarah politik negara apabila 32 ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang (RUU) menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Baginda bertitah, susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa PRU.

Mengulas lanjut, Zamrin berkata, pesanan dan peringatan baginda kepada orang muda itu perlu diambil serius kerana mereka bakal memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan pada masa depan.

Semua pihak katanya, tanpa mengira fahaman atau ideologi politik harus menjadikan nasihat baginda sebagai satu azimat dalam memastikan politik Malaysia terus makmur dan dihormati dunia.

Tambah beliau, Sultan Nazrin mempunyai pandangan yang sangat jauh, berfikiran luas serta kritis dan amat sayangkan rakyat jelata.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *