PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini menunjukkan angka yang tidak memberangsangkan, tetapi ia bukanlah mengejutkan.
Di Melaka, jumlahnya berada pada tahap 65.85 peratus manakala di Johor 54.92 peratus.
Peratusan yang rendah ini ternyata memberi kelebihan buat Barisan Nasional (BN) apabila meraih kemenangan dengan majoriti dua pertiga, walaupun statistik undi popular menunjukkan sebaliknya.
Lazimnya, jika peratusan keluar mengundi rendah, BN akan memperoleh laluan mudah dan sekiranya peratusan itu tinggi melebihi 75 peratus BN akan berdepan masalah sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pandemik Covid-19 dan kelesuan politik seringkali dijadikan alasan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam dua PRN berkenaan.
Alasan berkenaan ada kebenarannya tetapi penulis berpendapat ia bukanlah faktor utama yang merencatkan minat rakyat Malaysia khususnya pengundi atas pagar untuk keluar mengundi.
Sebaliknya, minat mereka menjadi tawar berikutan kegagalan parti penentang BN untuk bekerjasama, menyebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru sehingga BN boleh menang dengan bergaya di Melaka dan Johor.
Ini berbeza dengan PRU-14 yang menyaksikan kesepakatan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama sehingga peratusan keluar mengundi mencecah 82.32 peratus.
Keghairahan pengundi pada hari pengundian PRU-14 dapat dilihat dengan ketara apabila ramai yang sanggup beratur panjang di pusat mengundi malah lebuh raya menjadi sesak apabila pengundi luar balik ke kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.
Pada masa itu mereka teruja dan yakin bahawa masa, tenaga dan wang ringgit yang digunakan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu tidak sia-sia kerana kebarangkalian untuk berjaya menjatuhkan BN adalah cerah apabila pembangkang bersatu.
Bagi mereka, tiada gunanya bersusah payah keluar atau balik mengundi sekiranya ia ‘sekadar untuk melawan’ sewaktu keputusan sudah dapat dijangka akan berpihak kepada BN.
Senario ini sama seperti perlawanan bola sepak melibatkan pasukan corot dalam Liga Super Malaysia yang hanya ditonton sekumpulan kecil penyokong tegar walaupun ia berlangsung di laman sendiri.
Bagi penyokong bukan dalam kategori tegar, mereka sudah tentu tidak mahu membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk ke stadium sekiranya sudah tahu akan kalah dan terus kalah dalam perlawanan.
Lainlah jika sudah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, walaupun melawan pasukan kuat seperti JDT sekalipun, semangat penyokong pasukan kerdil boleh jadi luar biasa sehingga stadium melimpah ruah.
Begitu juga dalam pilihan raya, kalau sudah tahu tidak akan mampu menewaskan BN kerana keegoan pemimpin parti politik yang enggan bekerjasama, buat apa mereka keluar mengundi.
Akhirnya, peratusan keluar mengundi tetap berlegar di sekitar 50 ke 60 peratus dan BN yang sebenarnya tidaklah kuat mana akan terus menang besar.
Dalam kata lain, parti yang menolak kerjasama politik pada PRU15 sebenarnya adalah ‘rakan baik’ BN kerana menyumbang kemenangan percuma kepadanya.
Leave a Reply