Singapura bakal buka kedutaan di Tel Aviv

SINGAPURA akan membuka kedutaan di Tel Aviv, Israel, bagi mengukuhkan hubungan inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu pada Isnin.

MFA menerusi satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Israel.

Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang kini berada di Israel berkata kedua-dua negara harus memperkasa kerjasama dalam bidang baharu seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendigitalan, setelah dunia pulih dari pandemik Covid-19.

Pada Ahad, Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.

Pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.

Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki di Ramallah. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *