china eastern airlines

Nahas pesawat Eastern Airlines:  Boeing sedia bantu siasatan, tiada yang terselamat setakat ini

PENGELUAR pesawat berpusat di Amerika Syarikat (AS), Boeing Co. sedia membantu siasatan nahas membabitkan pesawat China Eastern Airlines (MU 5735) yang terhempas di kawasan pergunungan di selatan China, semalam.

Dalam kenyataannya di Twitter, Boeing memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) dan pakar teknikalnya bersedia membantu siasatan yang diketuai Pentadbiran Penerbangan Awam China.

Syarikat itu juga memaklumkan akan turut bekerjasama dengan pelanggan syarikat penerbangan China itu.

Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat itu setakat ini menunjukkan tiada yang terselamat.

Media melaporkan, setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan mungkin ada antara 132 penumpang dan kru pesawat malang itu mungkin terselamat.

Pada Isnin, pesawat jenis Boeing 737 yang membawa 132 penumpang dan kru terhempas di barat daya China.

Ini adalah nahas pesawat pertama China sejak 2010 dan pasukan SAR masih meneruskan usaha mereka di kawasan hutan pergunungan di selatan Guangxi, dengan media China menggambarkan suasana di sana sebagai ‘suram’.

Serpihan pesawat Boeing 737-800 ditemui semalam berselerakan di lereng gunung yang penuh tompokan kesan terbakar.

Cuaca hujan yang diramal bagi minggu ini di lokasi nahas dijangka menyukarkan lagi kerja SAR di kawasan yang dikelilingi gunung pada tiga sisi dengan hanya satu denai sempit sebagai jalan masuk.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *