lim kit siang covid

Kenapa pemimpin DAP diam bila kongres parti langgar SOP?

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Setakat yang dilaporkan media, Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menghadiri Kongres DAP di IDCC pada Ahad lalu telah disahkan positif Covid-19.

Semoga mereka berdua diberikan kesembuhan segera dan tidak mengalami kesan sampingan yang teruk akibat daripada pandemik itu.

Semua orang tahu yang virus itu tidak kelihatan dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun dengan mematuhi SOP, kebarangkalian untuk dijangkiti adalah lebih rendah.

Oleh kerana itu, Kementerian Kesihatan berulang kali menekankan betapa pentingnya untuk mematuhi SOP setiap kali melibatkan perhimpunan besar terutamanya melibatkan tempat tertutup seperti di dalam dewan yang berhawa dingin.

Maka, apabila Kit Siang sudah disahkan positif, maka berlegar di media sosial gambar pemimpin berusia 81 tahun itu berpelukan dengan ramai pemimpin DAP lain ketika kongres berkenaan.

Mereka berpelukan dipercayai kerana sedih dengan pengumuman Kit Siang yang mahu bersara daripada dunia politik setelah 56 tahun berkecimpung dalam arena berkenaan.

Walau apa pun alasannya, ia tetap salah dan semua yang terlibat wajar dikenakan tindakan bagi memastikan SOP terus dipatuhi tidak kira siapa sahaja.

Jika tidak, DAP tidak layak untuk bercakap soal kejujuran dan pematuhan undang-undang kerana parti yang sebelum ini lantang mengkritik tindak tanduk kerajaan juga lemah dalam mendisiplinkan ahli dan pemimpin parti masing-masing.

Pengerusi DAP Kebangsaan yang sebelum ini menjawat jawatan Setiausaha Agung, pernah mengkritik pimpinan tinggi kerajaan yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Guan Eng dalam kenyataannya pernah berkata menteri secara berterusan melakukan amalan dua darjat dengan “secara terbuka melanggar SOP yang mereka sendiri perkenalkan”.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin “berlaga penumbuk” dengan penyokong Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jadi, di manakah Guan Eng dan adakah dia hanya berdiam diri ketika melihat bapanya dan pemimpin DAP lain berpelukan dan melanggar SOP Covid-19 ketika Kongres DAP.

Jika berlaga penumbuk sahaja sudah dikritik Guan Eng, adakah dia tidak sedar berpelukan adalah lebih bahaya dalam menyebarkan virus kepada orang lain?

Oleh itu, selain wajar dikenakan saman, mereka semua yang terlibat dalam kongres berkenaan sewajibnya kuarantin diri dan tidak mencetuskan kluster DAP yang menyusahkan orang lain.

Ingatlah pesan orang tua, sebelum nak perbetulkan orang lain, perbetulkan diri sendiri dahulu dan tidak menjadi ketam yang mengajar anak berjalan lurus.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *