Jangan mimpi kalahkan BN dalam pilihan raya selagi…

PERHIMPUNAN Agung UMNO berakhir pada Sabtu lalu. Pelbagai gelagat dapat dilihat dan pelbagai ucapan kita dengar. UMNO yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ternyata menjadikan perhimpunan tahunan itu sebagai ‘gelanggang’ untuk menunjukkan kepada ‘dunia’ bahawa mereka satu-satu parti pilihan rakyat Malaysia.

Tetapi mereka lupa kemenangan di PRN Melaka dan PRN Johor boleh dianggap bukanlah ‘kemenangan tulen’.BN/UMNO bernasib baik kerana ketika kedua-dua pilihan raya itu berlaku jumlah keluar mengundi adalah rendah dan pada masa sama parti lawan pula berpecah sehingga mewujudkan pertarungan lebih tiga penjuru yang sekaligus menguntungkan BN.

Strategi BN/UMNO menjadikan slogan ‘kestabilan’ sebagai bahan kempen sedikit sebanyak membantu parti itu untuk mencapai kemenangan, tetapi persoalannya adakah BN/UMNO sahaja mampu membawa kestabilan?

Bagaimana jika parti lawan mereka bergabung? Bagaimana jika berlaku pertarungan satu lawan satu? Bagaimana jika BN hanya perlu berhadapan dengan satu sahaja lawan di satu-satu kawasan?

Penganalisis-penganalisis politik awal-awal lagi sudah memberi amaran bahawa BN bukanlah kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Kelemahan inilah yang memberi kelebihan kepada BN untuk mencatatkan kemenangan.

Di PRN Johor membuktikan ‘pertarungan’ banyak penjuru memberi kelebihan kepada BN, bagaimana jika situasi sama berulang dalam PRU-15.

Semua parti yang melawan BN mengetahui dan memahami bahawa usaha mereka untuk menumbangkan atau berhasrat menghalang BN kembali berkuasa hanya impian kosong jika mereka tidak mencari jalan untuk mencapai persefahaman bagi memastikan BN hanya berhadapan dengan satu lawan sahaja.

Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, PKR, MUDA dan  Pejuang antara parti yang boleh memberi saingan sengit kepada BN. Perikatan Nasional terutamanya sudah terbukti menjadi saingan utama kepada UMNO di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Statistik dalam PRN Melaka dan Johor sudah membuktikan jumlah sokongan diterima oleh Perikatan Nasional dalam kalangan pengundi Melayu semakin meningkat manakala pengundi Cina walaupun memberi kemenangan kepada MCA di satu dua kerusi tetapi realitinya majoriti mereka masih bersama DAP.

Apa yang berlaku di PRN Melaka dan Johor sekadar isyarat pengundi Cina kepada DAP supaya melakukan sesuatu untuk memperbaiki kelemahan dan jika itu dilaksanakan oleh DAP, dalam PRU-15 pengundi Cina akan kembali kepada DAP. PKR pula semakin merudum kekuatan mereka, tetapi kemunculan semula Rafizi Ramli dan penampilan Nurul Izzah yang dilihat mampu menarik sokongan pengundi muda kepada PKR.

Bagaimana dengan MUDA dan Pejuang. MUDA dilihat lebih selesa untuk bersama DAP manakala Pejuang pula masih dibelenggu dengan dendam politik terhadap Perikatan Nasional dan PKR, tetapi parti itu tidak mahu turut serta dalam pendekatan politik ‘Sekadar bermuafakat bukan bergabung’, tidak mengapa.

Apa yang penting ialah muafakat antara Perikatan Nasional, PKR dan DAP. Permuafakatan ini bukan maksud bergabung atau meninggalkan prinsip perjuangan masing-masing, sebaliknya ia bertujuan untuk memastikan tidak wujud pertarungan yang akan menguntungkan BN.

Tiada gunanya kerana berbeza fahaman politik masing-masing tetap bertanding di kawasan yang semua tahu hari penamaan calon pun dah kalah. Contohnya, di Johor Pejuang bertanding di 42 kerusi, semua kalah, Perikatan Nasional bertanding di 56 kerusi menang tiga.  Prestasi Perikatan Nasional di kawasan Melayu memberangsangkan, di kawasan majoriti Cina calon Perikatan Nasional sekadar catat nama dalam kertas undi sahaja.

Begitu juga PKR yang menggunakan simbol sendiri, ia tak ke manapun. Sebenarnya dalam pilihan raya ia bukan soal simbol, kalau pakai simbol arnab pun, kalau pengundi nak.. menang jugak.

Mungkin ramai yang berpandangan bagaimana kesemua parti itu boleh mewujudkan kerjasama dalam merealisasikan pertarungan satu lawan satu dengan BN pada PRU-15.

Perlu difahami ia bukan bermakna mereka bergabung dalam satu pakatan atau perikatan tetapi sekadar ada MoU supaya pertembungan banyak penjuru tidak berlaku.

Memangla kalau ikut kan semua parti, masing-masing rasa boleh menang, kawasan yang mereka tandingi tetapi realitinya bila dicongak-conggak sesetengah kawasan tu sejak dulu,kini dan selamanya mereka tidak boleh menang, buat habis wang dan tenaga sahaja.

Oleh itu lebih baik, mereka beri laluan kepada parti yang boleh mencabar BN di kawasan berkenaan.

Nanti ada pula yang bertanya, apakah bentuk kerajaan yang mahu diwujudkan? Tidakkah ia menjadi caca marba? Penulis nak tanya, kesemua parti yang bertanding ini, bertanding atas dasar apa? Adakah semata-mata untuk merebut kuasa atau mahu berkhidmat kepada rakyat serta memajukan negara?

Kalau keuntungan politik tidak menjadi sandaran dan mereka tidak hipokrit atau retorik dalam bab membela rakyat, mereka tidak kisah mencari jalan untuk mewujudkan pendekatan politik ‘sekadar muafakat bukan bergabung’.  Sama ada ia diterima atau tidak, biarlah rakyat tentukan dalam pilihan raya, apa yang penting cubalah dulu.

Penulis yakin jika kesemua parti yang menentang BN meletakkan calon yang betul, di kawasan yang betul, tidak mustahil mereka mampu memberi saingan sengit kepada BN, kalaupun tidak dapat menghalang BN menubuhkan kerajaan tetapi dapat menafikan dua pertiga majoriti dan mewujudkan pembangkang yang kuat sudah mencukupi.

Kalau tiada usaha dilakukan oleh parti-parti bagi mencari kesepakatan antara mereka dalam menentang BN dalam pertarungan satu lawan satu dalam pilihan raya, percayalah apa yang sedang dilakukan oleh parti-parti tersebut ia ibarat ‘mencurahkan air ke keladi’ tak ada faedah pun…dan BN pasti tersenyum dan terus ‘berkepak’, biarpun pemimpin mereka dibaluti pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *