95 cedera, dua kereta api bertembung

SEKURANG-KURANGNYA 95 penumpang cedera apabila dua kereta api bertembung di selatan ibu kota Tunisia, Tunis pada pagi Isnin, lapor Xinhua memetik seorang pegawai dari Jabatan Pertahanan Awam.

Kemalangan berlaku di kawasan Jebel El Jloud berhampiran stesen utama Barcelona yang terletak di tengah-tengah Tunis apabila sebuah kereta api jarak jauh melanggar kereta api lain yang bergerak di landasan sama, kata Samir Oueslati, pemangku pengarah serantau Perlindungan Awam seperti dilapor stesen radio swasta Mosaique FM.

Bagaimanapun kata jurucakap Pertahanan Awam, Moez Triaa, hanya satu kereta api yang membawa penumpang.

Menurutnya, tiada kematian dilaporkan dan kebanyakan yang cedera mengalami patah tulang serta lebam.

Sistem kereta api Tunisia telah menyaksikan beberapa kemalangan maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *