SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.
Titah baginda, bimbingan itu penting untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.
“Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan Penganalisis politik, Dr G Manimaran di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut baginda, anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara.
“Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, tarikh 16 Julai 2019 merupakan detik penting dalam sejarah politik negara.
“Seramai 32 ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang (RUU) menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang telah mencapai kata sepakat meluluskan RUU tersebut.
“Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi,” titah baginda.
Baginda bertitah, susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ia meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa PRU.
“Diunjurkan, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun. Bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.
Leave a Reply