PENDEKATAN paling berkesan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang ialah semua parti lain mesti bergabung di bawah satu ‘khemah besar’.
Jika mereka masih menggunakan strategi sama iaitu bertanding secara berasingan seperti di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sudah pasti kemenangan akan lebih memihak kepada BN.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar menegaskan, parti-parti seperti Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain harus berganding bahu jika mahu menumbangkan BN yang diketuai UMNO.
“Kalau betul-betul nak lawan dengan BN, semua parti-parti yang nak lawan dengan BN ini kena bersatu, buat satu khemah yang besar.
“Tapi tanpa kerjasama sesama mereka saya tidak nampak mereka boleh memenangi PRU-15,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Dalam pada itu menurutnya, pemimpin-pemimpin daripada parti-parti berkenaan harus duduk semeja dan bermuhasabah diri bagi membincang cara untuk bekerjasama.
“Pemimpin-pemimpin PN, PH dan lain-lain kena bermuhasabah diri dan ‘move forward’, bincang macam mana untuk bekerjasama.
“Bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin mereka, mungkin boleh diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua nama tokoh yang boleh ketuai pakatan politik untuk menentang BN,” katanya.
Bagaimanapun katanya, atas dasar pengalaman menjawat jawatan tertinggi dalam negara iaitu sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dilihat layak untuk mengepelai kesatuan politik baharu itu.
“Kalau tengok keadaan sebelum terbentuknya PN, mungkin Anwar Ibrahim, tetapi selepas Muhyiddin menjadi PM, mungkin Muhyiddin. Antara dua, dua-dua layak untuk mengepalai muafakat politik yang akan dibuat,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata akan membincangkan isu pembubaran Parlimen bersama lima pemimpin tertinggi parti itu bagi membolehkan PRU15 disegerakan.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan penutup Perhimpunan Agung Umno (PAU2021) juga memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengambil masa terlalu lama untuk membubarkan Parlimen.
Isyarat jelas diberikan Ahmad Zahid kepada Ismail Sabri walaupun secara berlapik memberitahu Perdana Menteri diberikan peluang sehingga sekurang-kurangnya tamat memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, PH pada Julai nanti.
Leave a Reply