Dinasti Lim

Benarkah cengkaman Dinasti Lim dalam DAP telah berakhir?

DINASTI Lim telah menguasai DAP sejak Lim Kit Siang menjadi Setiausaha Agungnya selama 30 tahun mulai 1966 hingga 1999. Beliau seterusnya memainkan peranan selaku Penasihat dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sehinggalah semalam.

Namun, beliau tidaklah lenyap sepenuhnya dari pentas politik DAP kerana masih diberi peranan sebagai Mentor Parti. Tidak pasti apakah fungsi sebenar jawatan tersebut dan tahap pengaruhnya terhadap dasar DAP.

Anak lelakinya, Lim Guan Eng mula menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP kelima selama tiga penggal mulai 4 September 2004 sehingga semalam.

Jika tidak kerana Perlembagaan DAP yang mengehadkan tempoh seseorang pemimpin memegang jawatan Setiausaha Agung selama tiga penggal, mungkin bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpeluang menyamai atau memecahkan rekod yang dipegang oleh bapanya.

Guan Eng yang terpalit dengan tuduhan berkaitan skandal terowong di mahkamah juga masih ada dalam barisan CEC penggal ini malah beliau dilantik sebagai Pengerusi pula.

Seorang lagi waris Kit Siang iaitu anak perempuannya, Lim Hui Ying juga mendapat tempat dalam CEC DAP bagi penggal 2022 – 2025 yang dianggap sebagai barisan penggempur parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Adik perempuan Guan Eng itu juga merupakan seorang Ahli Dewan Negara bagi mewakili Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP sejak selepas PRU-12.

Sebelum pemilihan, ramai pemerhati melihat keputusan Kit Siang mengundurkan diri dari persaingan mendapatkan tempat dalam CEC sebagai langkah mengurangkan pengaruh keluarganya dalam parti.

Mungkin beliau pun sedar tentang tanggapan negatif terhadap kewujudan Dinasti Lim yang ditujukan terhadap dirinya dan Guan Eng selama ini.

Malangnya andaian itu tersasar apabila dua ahli Dinasti Lim dipilih menganggotai CEC DAP manakala Kit Siang sendiri dilantik sebagai Mentor Parti.

Maknanya, kini ada tiga ahli Dinasti Lim dalam carta organisasi kepimpinan DAP, berbanding hanya dua sebelum ini.

Memang benar, seramai 30 ahli CEC termasuk Guan Eng dan Hui Ying dipilih oleh para perwakilan yang menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, semalam.

Kita tidak mempertikaikan keputusan pemilihan tersebut. Cuma agak hairan apabila akar umbi DAP sendiri masih enggan membebaskan parti itu daripada cengkaman Dinasti Lim.

Lebih pelik apabila mereka selama ini mendabik dada sebagai pejuang CAT atau kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan mengangkat seorang pemimpin dalam kategori kluster mahkamah sebagai Pengerusi.

Memandangkan akar umbi DAP tidak berani menyingkirkan Dinasti Lim daripada parti mereka, wajarlah rakyat mengajar mereka pada PRU-15 dengan memastikan parti yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) itu jatuh tersungkur.

Hanya dengan cara itu baru mereka sedar bahawa rakyat Malaysia sudah bosan dan meluat dengan dasar cauvinistik dan sikap hipokrit yang disuburkan oleh Dinasti Lim dalam DAP.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *