SEBANYAK 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di Ipoh, Perak mati akibat kebakaran tengah malam tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidee Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.
“Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat.
“Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada 1.30 pagi.
Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
Sementara itu, penternak kambing berkenaan, Badrishah Zamzuri, 60, yang juga pesara polis berkata beliau menyedari kejadian tersebut pada 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran sekitar lalu bergegas ke kandang berkenaan kira-kira 10 meter dari rumahnya.
“Setiba di kandang, saya lihat lebih separuh ternakan saya mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini adalah petang semalam dengan memberi makan dan kemudian memasang unggun api sekitar 7 malam,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.
Badrishah turut tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.
Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lepas dengan permulaan 10 ekor kambing. – BERNAMA
Leave a Reply