KELAB Veteran Bersatu Malaysia (KVBM) mendesak kerajaan Persekutuan supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga tamat tempoh penggal pilihan raya iaitu pada 2023.
Setiausaha Agungnya, Datuk Jemale Paiman berkata, kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi tumpuan terhadap kebajikan, keharmonian, pendidikan dan ekonomi rakyat walaupun didesak dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 untuk membubarkan Parlimen.
Pada masa yang sama, KVBM memyokong pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dan berharap dasar-dasar yang baik sebelum ini untuk rakyat diteruskan termasuk Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2019 – 2023 diteruskan.
Bekas Pengerusi Perancangan Pembangunan Negeri Johor itu berkata, PPMJ masih relevan dan wajar diteruskan dengan melakukan penambahbaikan bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.
“Kita harap Menteri Besar Johor yang baharu akan lebih agresif dan berperancangan dan bukan ‘ad hoc’… Beliau perlu buka semula peluang-peluang ekonomi supaya rakyat Johor ada kerja,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir Bendahari KVBM, Saifulanuar Yahya, Ketua Penerangannya, Haron Ariffin serta dua Ahli Jawatankuasanya Norzri Mokhtar serta Lokman Abu.
Beliau juga berharap Menteri Besar Baharu itu akan membantu memainkan peranan membuka sempadan Malaysia-Singapura segera dan secara menyeluruh dengan mempunyai perancangan yang sistematik.
Sementara itu, Jemale menyarankan agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyusun semula pengurusan parti di peringkat cawangan hingga kepimpinan Pusat sebagai persediaan menghadapi PRU-15.
“Kita memerlukan parti menjadi kuat semula, barulah kita boleh laksanakan visi dan misi kita yang jelas untuk rakyat serta negara sekali gus selari dengan tuntutan Perlembagaan parti dan kehendak Perlembagaan negara,” jelasnya.
Leave a Reply