Oleh RIZQI ZABIDI
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 billion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.
Sultan Sallehuddin percaya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Invest Kedah Berhad, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain industri lain dalam menarik pelaburan ke Kedah.
“Kejayaan itu membuktikan betapa Kedah sememangnya menjadi destinasi pilihan para pelabur. Pelaburan ini melebihi sasaran ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 billion setahun.
“Namun begitu, kita janganlah terlalu selesa dan leka dengan angka ini. Usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk, dapat ditingkatkan di Bandaraya Getah Kedah (KRC), Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis.
“Dengan jumlah pelaburan yang besar ini, beta berharap agar ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini agar setanding dengan negeri-negeri maju di negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian secara dalam talian sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.
Mengenai sidang DUN yang akan berlangsung hingga 23 Mac depan, Sultan Sallehuddin menasihatkan agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah bagi mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul.
“Kematangan inilah yang diperlukan seluruh rakyat dan ambillah nasihat pepatah Melayu lama iaitu biduk berlalu, kiambang bertaut.
“Perpaduan yang utuh merupakan asbab kekuatan kepada sesebuah ketamadunan. Melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan keluarga, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi,” titah baginda.
Leave a Reply