SETELAH 56 tahun bergelumang dalam arena politik tempatan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan beliau bersara dari politik.
Memetik laporan FMT, tokoh kontroversi yang turut mewarnai dunia politik tanah air sejak 1960-an itu membuat pengumuman tersebut pada Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, hari ini.
Bapa kepada Lim Guan Eng itu menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sejak 1966 sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan.
Kemudian, Kit Siang menyandang jawatan Setiausaha Agung selama 30 tahun, mulai 1969 hingga 1999.
Berikutan keputusan bersara dari politik, Kit Siang turut mengumumkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan CEC DAP hari ini.
Kit Siang juga tidak akan bertanding merebut kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya umumkan persaraan dalam politik, umum tarik diri Jawatankuasa Tertinggi Pusat (DAP), saya juga tak akan bertanding Parlimen, negeri di masa depan,” katanya dalam Kongres Kebangsaan DAP sebentar tadi.
Pemimpin berusia 81 tahun itu merupakan salah seorang daripada 93 individu yang dicalonkan untuk merebut 30 kerusi dalam pemilihan CEC.
Kira-kira 4,150 perwakilan dijangka mengundi dalam pemilihan hari ini.
Kit Siang yang turut menyandang jawatan Ahli Parlimen Iskandar Puteri dikenali kerana kenyataannya yang bersifat kontroversi, lebih-lebih lagi dalam isu membabitkan orang Melayu dan umat Islam.
Beliau juga sering bertukar kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang disertainya.
Sebelum memenangi kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong (1986–1999), Ipoh Timor (2004–2013) dan Gelang Patah (2013-2018).
Beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982); Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).
Leave a Reply