
SELEPAS kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu lalu, DAP menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu bertanding menggunakan satu logo sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Gesaan itu disuarakan oleh Lim Guan Eng dalam ucapan dasar terakhirnya sebagai Setiausaha Agung DAP pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, hari ini.
Pada PRN Johor, PKR membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo partinya sendiri manakala DAP dan PAN bertanding di bawah logo PH.
Keputusan pada 12 Mac lalu menyaksikan PH meraih 11 kerusi manakala PKR hanya mampu memenangi satu kerusi.
Benarkah soal logo berbeza yang menyebabkan PH dan PKR mengalami kekalahan memalukan di Johor?
Keputusan PRN Melaka menunjukkan hanya lima kerusi yang dimenangi oleh PH walaupun calon-calonnya bertanding menggunakan satu logo.
Pada PRN Sarawak, setiap parti pembangkang termasuk komponen PH bertanding menggunakan logo parti masing-masing.
Namun, PH tetap kalah teruk apabila hanya menang dua daripada 62 kerusi yang ditandingi.
Melihat kepada keputusan tiga PRN tersebut, dapat disimpulkan bahawa logo bukan menjadi faktor utama yang menyebabkan rakyat menolak PH.
Guan Eng yang pernah menjadi Menteri Kewangan era rejim PH dahulu sepatutnya sedar bahawa rakyat hidup sengsara sewaktu PH berkuasa selama 22 bulan dahulu.
Peluang pekerjaan berkurangan apabila ekonomi menguncup setelah pelabur asing cabut lari kerana tidak yakin dengan kemampuan rejim PH.
Rejim PH yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengutamakan soal kebajikan rakyat terutamanya masyarakat luar bandar dan bumiputera yang masih jauh ketinggalan.
Program bantuan kepada rakyat dikaji semula dan sekiranya diteruskan, jumlah yang diterima rakyat berkurangan.
Banyak janji-janji manis yang ditaburkan kepada rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) gagal ditunaikan oleh rejim PH.
Bila sudah tersepit, mereka kata ‘manifesto bukan kitab suci’ dan enggan mengakui kegagalan dan kelemahan dalam mentadbir negara.
Rakyat khususnya orang Melayu tidak mudah lupa apa yang telah dilakukan oleh PH terhadap mereka dahulu.
Waima bertanding guna logo ‘durian’ atau ‘terowong’ sekali pun, rakyat tetap akan menolak PH. Cukuplah sekali tragedi hitam dalam sejarah politik negara itu berlaku.
Leave a Reply