DAP warisan anthony loke harga makanan

Anthony Setiausaha Agung DAP, Guan Eng jadi Pengerusi

AHLI Parlimen Seremban, Anthony Loke diumumkan sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu bagi menggantikan Lim Guan Eng.

Bekas Menteri Pengangkutan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu dipilih sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang baharu untuk memimpin parti.

Memetik laporan Malaysiakini, Lim Guan Eng yang menang kerusi dalam CEC dilantik sebagai Pengerusi DAP yang baharu.

Bapa Guan Eng iaitu Lim Kit Siang dilantik sebagai Mentor DAP manakala Tan Kok Wai sebagai Penasihat dan Nga Kor Ming sebagai Ketua Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang meraih undi tertinggi dengan 1,782 undi, kekal sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

Jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan pula disandang bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Jawatan lama Anthony iaitu Setiausaha Organisasi Kebangsaan kini diisi oleh Steven Sim.

Kali ini, bilangan jawatan CEC yang ada telah ditambah daripada 20 kepada 30 sejak pemilihan semula DAP pada 2017, dengan 17 muka baharu turut terpilih.

Antara mereka yang baru menyertai CEC termasuk Young Syefura Othman, yang merupakan satu-satunya calon Melayu yang masuk dalam senarai itu.

Beliau juga menggantikan Zairil Khir Johari sebagai satu-satunya wakil Melayu yang berjaya dilantik ke CEC.

Zairil gagal mempertahankan jawatannya dalam CEC pada pemilihan kali ini.

Satu lagi penambahan baharu yang mencuri tumpuan dalam CEC ialah Lim Hui Ying, yang merupakan anak kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang telah mengumumkan persaraan daripada politik awal hari ini. Sumber DAP berkata, Kit Siang mahu mengehadkan bilangan ahli keluarga dalam kepimpinan untuk mengelakkan dakwaan “dinasti politik”.

Guan Eng berundur sebagai Setiausaha Agung, jawatan eksekutif tertinggi, susulan had tiga penggal yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Ronnie Liu pula berjaya menduduki tempat ke-20 dalam senarai ahli CEC yang dipilih walaupun secara terbuka mengkritik kepimpinan DAP dalam pelbagai perkara, termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta kerjasama DAP sebelum ini dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jannie Lasimbang juga berjaya dipilih ke CEC walaupun memperoleh jumlah undi yang lebih rendah berbanding beberapa calon lain berikutan kuota 30 peratus wanita DAP untuk jawatankuasa itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *