Pas raya Hadi Awang

Demi perjuangan Islam, PAS tak takut kalah pilihan raya

Oleh RIZQI ZABIDI

TEWAS dalam pilihan raya bukanlah sesuatu yang ditakuti PAS dengan kekalahan yang dialami selama ini, tidak pernah mengubah asas kepada perjuangan parti bagi menegakkan Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak mesti mengambil iktibar daripada kisah dilalui para nabi dengan kemenangan yang dicari, tidak semestinya dilihat pada zaman mereka sebaliknya tercapai pada era generasi terkemudian.

Tambahnya, PAS bukanlah sebuah parti yang kaya raya namun sejarah membuktikan betapa parti itu masih kekal memperjuangkan asas sama untuk Islam, meskipun pemimpinnya bersilih ganti.

“Kita tak apa sebab dah biasa kalah tetapi ‘dia’ yang selalu menang, apabila kalah sekali dah lembik lutut.

“Kita tak takut kalah dan akan langsungkan perjuangan sampai ke akhir hayat dengan meletakkan harapan kepada Allah, menjunjung Islam di depan untuk ditegakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan ribuan penyokong PAS yang hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Pentadbiran Kompleks PAS Kedah di Simpang Empat, Alor Setar, malam tadi.

PAS Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang menyempurnakan gimik perasmian Bangunan Pentadbiran Kompleks PAS Kedah di Simpang Empat, Alor Setar, malam tadi.

Majlis perasmian bangunan setinggi enam tingkat yang menelan belanja sebanyak RM8 juta hasil sumbangan ahli serta penyokong PAS itu, turut dihadiri  Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Abdul Hadi menambah, semangat yang ada pada diri ahli-ahli PAS itu merupakan satu bentuk kekuatan yang ada pada parti tersebut.

“Sebab itulah musuh-musuh kita lebih ramai daripada parti lain. Kita merupakan parti yang paling lama boleh melangsungkan perjuangan ini, hingga ke hari ini.

“Parti lain apabila pemimpin mati, parti pun mati dan apabila pemimpin menjadi lemah, maka parti pun lemah. Tetapi kita berbeza kerana kalau ada pemimpin lemah, akan ada pemimpin lain yang mengambil alih bagi meneruskan perjuangan dan itulah kekuatan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kalangan ahli PAS supaya mengambil iktibar daripada kisah Nabi Musa ketika Rasul Ulul Azmi tersebut berdepan Firaun.

“Pertamanya kita perlu istiqamah dalam perjuangan dan tidak berganjak terhadap soal prinsip dan dasar. Taktik serta strategi boleh berubah namun dasar dan matlamat tidak boleh diubah dengan kita perlu sentiasa beristiqamah.

“Selain itu jangan kita terpengaruh atau terikut-ikut dengan golongan yang tidak mengerti. Mereka ini pertamanya nak cepat menang sampaikan kalau berjuang hari ini, esok atau dua minggu lagi sudah nak menang.

“Keduanya mereka yang berputus asa hingga sanggup menyatakan Islam tak boleh menang. Ini dua jenis manusia yang tidak mengerti dan tidak tahu kekuasaan Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *