fathul bari ekonomi dahulu

Pulihkan ekonomi negara dahulu, baru buat PRU-15

UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya menunggu sehingga ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik COVID-19 pulih dahulu sebelum mendesak kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, prestasi UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk membuat desakan tersebut.

Beliau mengingatkan para pemimpin dan ahli UMNO bahawa purata jumlah pengundi pada dua PRN terbabit adalah sekitar 55 peratus sahaja.

“Ini satu isu serius, jangan kita ambil mudah dengan melihat 55 peratus jumlah keluar mengundi di Johor satu penanda aras untuk kemenangan melalui PRU15 akan datang.

“Lebih baik baiki dahulu, pulihkan dahulu ekonomi, pelaburan langsung asing (FDI), hubungan luar dan sebagainya, bagi ada sesuatu, bagi ada asas untuk kita jual kepada rakyat.

“Bukan jual dalam keadaan tidak baik, kita kempen kepada rakyat, produk kita, kita berjaya buat, kita berjaya ubah walaupun kita dalam keadaan tidak dominan.

“Lepas itu baru kita boleh pergi kepada pilihan raya, orang kenal, mereka fikir soal makan, atas meja ini cukup makan atau tidak, ini soal impak ekonomi,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob membubarkan Parlimen.

Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *