Oh Tong Keong

Permohonan naik tarif air Pulau Pinang tidak wajar

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang menyifatkan cadangan menaikan tarif air di negeri itu buat masa ini adalah tidak wajar ketika ekonomi negeri dan majoriti penduduknya masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berharap Kerajaan Pusat khususnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menolak permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menaikan tarif air tersebut.

Menurut beliau, tarif air di Pulau Pinang juga telah dinaikkan banyak kali sejak DAP menjadi kerajaan negeri iaitu sepanjang 14 tahun lepas.

“Ekonomi Pulau Pinang masih belum pulih dan rakyat masih berdepan dengan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Tetapi kerajaan negeri pula ingin menaikkan tarif air, adakah mereka ingin melihat rakyat terus hidup dengan sengsara?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tong Keong yag juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, semua pihak ketika ini harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan dan memburukkan lagi keadaan yang dihadapi mereka.

Tegas beliau, PBAPP tidak seharusnya membuat cadangan itu dalam tempoh ketika ini kerana kehidupan rakyat masih terkesan akibat Covid-19.

“PBAPP boleh mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai, tetapi bukan sekarang!”, katanya.

Ekoran itu juga, Tong Keong menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP memandang serius tekanan kewangan yang bakal dihadapi rakyat akibat kenaikan tarif air tersebut sekiranya dilaksanakan kelak.

Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Pulau Pinang tidak lagi memberi sokongan dan mandat kepada DAP sekiranya kerajaan negeri berkeras mahu menaikkan tarif air itu.

“Parti Gerakan tetap berpendirian mana-mana institusi pun perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan kenaikan tarif air buat masa ini hanya akan membebankan rakyat sekali gus merupakan keputusan yang tidak wajar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dilaporkan akan memohon semakan tarif air di Pulau Pinang pada tahun ini untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030).

Menurut Jaseni, permohonan PBAPP itu akan dikemukakan kepada SPAN namun tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *