Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERIKATAN Nasional (PN) Johor berharap pencarum yang benar-benar memerlukan sahaja akan membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, ini memandangkan tabungan tersebut adalah simpanan sebenar untuk kegunaan hari tua dan keperluan lain pada masa depan.
Katanya, walaupun PN mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas itu tetapi perkara tersebut perlu diambil kira.
“Kami yakin ekonomi Malaysia semakin pulih dan ini akan mengukuhkan caruman serta meningkatkan kadar dividen sekali gus menokok kepada simpanan pada tahun-tahun akan datang.
“Oleh itu, mempertahankan caruman KWSP sedia ada masing-masing adalah lebih penting berbanding mengeluarkan simpanan itu untuk perbelanjaan remeh dan tidak menentu atau bertujuan konon untuk disimpan semula dalam akaun simpanan peribadi di bank.
“Pencarum mesti ingat, pengeluaran caruman KWSP adalah penting bagi kegunaan yang benar-benar mendesak khususnya untuk urusan berkaitan pembiayaan perumahan, pendidikan dan rawatan perubatan keluarga yang akan diperlukan pada bila-bila masa yang tidak terjangka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000.
Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan dibuat Kementerian Kewangan (MoF) dan KWSP.
Menurutnya, PN faham tujuan pengeluaran khas itu adalah jalan penyelesaian masalah kewangan yang dihadapi namun pencarum dinasihatkan bertindak bijak dengan mengimbangi antara keperluan mendesak sekarang dan simpanan masa tua masing-masing.
Justeru katanya, mengekalkan simpanan KWSP masing-masing adalah jalan terbaik kecuali keadaan atau masalah kewangan pencarum benar-benar mendesak dan pengeluaran tersebut akan membantu mereka menyusun semula kehidupan ke arah lebih lebih baik serta stabil.
Leave a Reply