PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini memberi pilihan kepada perwakilan sama ada mereka mahu ia menjadi medan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 atau gelanggang bagi memperkukuhkan perjuangan parti itu membela nasib rakyat.
Mereka tidak boleh terbuai dengan cerita-cerita indah berikutan kemenangan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor sehingga merasakan inilah masa terbaik untuk mengadakan PRU-15. Kemenangan di negeri itu bukan bermakna Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah kembali diterima oleh rakyat.
Dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, ia bukan ukuran sebenar kekuatan BN dan tahap sokongan rakyat. PRU tidak sama dengan PRN. Semasa PRN, seluruh jentera parti tertumpu di negeri terlibat, segala masalah dalaman dapat ditangani kerana pemimpin pusat ada masa turun ke kawasan bermasalah…tetapi apabila PRU diadakan, masing-masing dengan urusan sendiri.
Beberapa sumber dalaman UMNO memberitahu penulis, jika PRU diadakan belum tentu BN/UMNO boleh mencapai kejayaan bergaya seperti mana di Melaka dan Johor. Mereka amat memahami sejauh mana keterbatasan jentera di peringkat akar umbi untuk bergerak tanpa bantuan jentera luar, mereka juga mengetahui bagaimana di bahagian-bahagian terdapat konflik ibarat ‘gunung berapi yang tunggu masa untuk memuntahkan Lavanya’.
Justeru pemimpin dan perwakilan UMNO tidak seharusnya begitu yakin apatah lagi angkuh untuk mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15. Pentas PAU bukan gelanggang untuk mengatur agenda memperkukuhkan kuasa atau ‘luaskan kuasamu’, sebaliknya ia harus membincangkan agenda melibatkan kepentingan rakyat.
Walaupun UMNO menang dua PRN itu tidak bermakna, rakyat sudah menerima BN. Kemenangan BN adalah atas nasib kerana majoriti rakyat semakin muak dengan politik dan parti-parti lawan sedang berhadapan dengan masalah. Ia sama seperti mana Leicester menjadi juara EPL pada 2016. Ketika itu semua kelab-kelab besar sedang berhadapan dengan masalah prestasi dan pengurusan.
Maksudnya, UMNO dan BN tidaklah kuat serta bukanlah mendapat sokongan majoriti rakyat. Tetapi mereka bernasib baik dan bijak mengambil kesempatan untuk menunjukkan parti itu sudah diterima oleh rakyat.
Dalam pertemuan penulis dengan beberapa pihak ketika PRN Johor, kesemua mereka mengakui, sebenarnya UMNO/BN tidak kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Malah mereka juga mengakui kemenangan BN di negeri itu bukanlah jaminan bahawa PRU-15, parti tersebut akan menang besar.
Perwakilan PAU yang sering digembar-gemburkan suara akar umbi UMNO perlu memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum mengikut rentak beberapa kerat pemimpin parti itu yang begitu teruja mahu mengadakan PRU-15 selepas kemenangan di Johor.
Betul seperti mana kata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, kenapa perlu memberi peluang kepada parti lawan menyusun barisan dan mengumpul kekuatan tetapi adakah UMNO benar-benar bersedia? Cukupkah dana? Mantapkah jentera? Khabarnya di PRN Johor pun…hampir terkapai-kapai kelemasan kerana pelbagai masalah termasuk dana.
Soal bila PRU-15 biarlah, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tentukan. Itu hak mutlak beliau untuk menentukan bila waktu sesuai memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen. Ismail Sabri harus melihat banyak faktor khususnya melibatkan rakyat bukannya tunduk dengan ‘nafsu politik’ sesetengah pemimpin dalam UMNO.
Lagipun Ismail Sabri sudah membuat MoU dengan parti-parti lain termasuk dengan sekutu dalam kerajaan bahawa jika mahu membubarkan Parlimen ia mesti dibincangkan terlebih dahulu. Tak kanlah Ismail Sabri mahu memungkiri janji. Setakat ini Perdana Menteri masih berpegang kepada janji tersebut.
Cuma apa yang menjadi persoalan sejauh manakah beliau bersedia berhadapan dengan tekanan daripada parti beliau sendiri iaitu UMNO. Bagaimanapun Ismail Sabri perlu faham beliau bukan sekadar Naib Presiden UMNO tetapi Perdana Menteri yang kuasanya amat luas sekali.
Justeru itulah ramai mahu melihat Ismail Sabri menggunakan kuasa itu demi kepentingan rakyat dan negara, bukannya kehendak politik UMNO. Soal kestabilan hanyalah ungkapan atau slogan politik pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
Leave a Reply