SEBARANG tindakan dan keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana.
Pada masa sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berpendapat kesepakatan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan pembangkang juga perlu diambil kira.
Kata beliau, ini kerana keabsahan MoU tersebut berlanjutan sehingga 31 Julai depan.
“Kita harus sedar bahawa rakyat sedang melihat dan memerhati kita. Justeru, sebarang tindakan dan keputusan kita hendaklah dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana.
“Wanita UMNO percaya bahawa Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membuat keputusan terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Wanita UMNO sentiasa bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021, hari ini.
Mengulas lanjut, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Menurut beliau, pandemik yang melanda negara sejak dua tahun lalu masih memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian termasuk golongan wanita.
Noraini berkata, langkah dilakukan Perdana Menteri itu pastinya memberi rahmat dan kelegaan besar kepada rakyat yang sedang berusaha memulihkan kehidupan.
“Slogan membawa kestabilan politik mungkin relevan pada masa kini namun rakyat akan melihat apa kebaikan dan kemajuan yang akan kita laksanakan dalam membawa negara ini ke hadapan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat dengan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” jelas beliau.
Leave a Reply