KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
“Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar. (Namun) pada ketika ini memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Kuala Lumpur pada Khamis.
Semalam, Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.
Beliau berkata, daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran itu, kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan. – Bernama
Leave a Reply