‘’Jangan bincang tarikh pilihan raya secara terbuka’’ – Annuar

PEMIMPIN kanan UMNO tidak sepatutnya membicarakan mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU) secara terbuka, kata Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas ucapan timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, kata Annuar, membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka “tidak kena pada tempatnya”.

Malah kata Annuar, ia hanya akan mencetuskan polemik, lebih-lebih lagi hal itu merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya, manakala Perdana Menteri hanya berhak untuk memberi nasihat.

“Kerana tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting,” katanya lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Mohamad memberikan ucapan perasmian pada acara tersebut.

Annuar menegaskan,  apabila dibincang secara terbuka, ia mendahului bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

‘’Satu daripadanya (bidang kuasa Agong) ialah menerima atau menolak pembubaran Parlimen. Jadi soal pembubaran parlimen tak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara.

“Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka,” katanya.

Antara aspek yang perlu dibincangkan, tambah bekas Setiausaha Agung UMNO itu lagi, ialah baik dan buruk PRU itu disegerakan atau diawalkan.

‘’Apa kesan jika cadangan pembubaran parlimen itu tidak diperkenankan oleh Agong. Jadi pada saya tak kena pada tempatnya (untuk PRU dibincang secara terbuka),” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad antara lain menyatakan sudah tidak ada lagi alasan untuk UMNO melengah-lengahkan PRU, dan turut mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan yang cenderung untuk menangguhkan pemilihan tersebut.

Kata Mohamad, UMNO tidak boleh terus bergantung pada perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan memorandum persefahaman (MOU) dengan pembangkang untuk mengurus kestabilan negara.

Jika tidak, katanya, ia bererti UMNO bergantung pada ihsan dan simpati parti lain untuk memerintah.

Mengulas lanjut, Annuar turut menyifatkan ucapan Mohamad sebagai “berat”, dan memandangnya sebagai satu “lontaran peribadi” sebagai seseorang yang “berada di luar kerajaan”.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *