SEORANG budak lelaki dikhuatiri terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.
Kereta Honda City dinaiki kanak-kanak berusia lima tahun itu bersama-sama ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun, terbabas dipercayai ketika mengelak lopak air.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Seberang Perak.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.19 petang tadi sebelum anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Jentera yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa terbabas ke dalam tali air sedalam 3.65 meter.
“Dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi, manakala seorang kanak-kanak lelaki dipercayai masih berada dalam kereta itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama kenderaan itu sedang giat dilakukan ketika ini dengan turut dibantu anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.
“Operasi ketika ini agak sukar kerana arus air deras. Kita juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup laluan air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Leave a Reply