Wanita disambar buaya ketika memancing

SEORANG wanita maut selepas dibaham buaya semasa memancing di Sungai Telong, Suai, Miri, kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Kejadian itu berlaku semasa mangsa, Demit Chagai, 43, sedang memancing bersama-sama ibu dan ibu saudaranya di sungai itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binji berkata, empat anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.10 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama ibu dan seorang ibu saudaranya sedang memancing di tepi sungai sebelum kejadian.

“Mereka amat terkejut selepas melihat seekor buaya tiba-tiba muncul dari air dan menyambar mangsa dan menyeret mangsa ke dalam air.

“Kedua-dua saksi itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan begitu pantas.

“Buat masa ini, usaha mengesan serta mencari mangsa sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung pada jarak 3 kilometer ke hulu dan hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *