UMNO perlu menjawab kepada pengundi Johor mengapa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai Menteri Besar sedangkan sebelum ini beliau dijanjikan untuk jawatan tersebut jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penyelidikan Ilham Center, Yusri Ibrahim berkata, perkara itu perlu dijelaskan sedangkan Hasni sendiri merupakan faktor yang membantu memberi pecutan sehingga membawa kepada kemenangan bergaya UMNO pada PRN tersebut.
“UMNO Johor perlu menjawab kepada pengundi kerana itu (Hasni sebagai calon menteri besar) adalah kempen (pilihan raya). Sebenarnya dalam sistem kita, hak untuk melantik menteri besar adalah hak istanakah?
“Tapi UMNO yang meletakkan tawaran kepada pengundi Johor bahawa jika ia diberi mandat oleh rakyat, Hasni akan dilantik sebagai menteri besar. Jadi UMNO harus menjelaskan kepada pengundi apakah yang berlaku,” katanya memetika laporan FMT, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu semalam.
Terdahulu, Hasni yang juga ADUN Benut dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen PRN Johor.
Sabtu lalu, BN memperoleh mandat besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa untuk membentuk kerajaan negeri.
“Penerimaan (sokongan pengundi) kepada Hasni agak tinggi. Memang agak popular Hasni, tapi kalau dibandingkan dengan beberapa bekas menteri besar sebelum ini, sebenarnya Dartuk Seri Mohamed Khaled Nordin lebih popular,” katanya.
Yusri juga menjangkakan polemik pengguguran Hasni sebagai Menteri Besar akan menjadi isu hangat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula hari ini, selain isu masa depan Muafakat Nasional (MN) serta tarikh pilihan raya umum (PRU).
“Pertama adalah memutuskan isu kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional. Itu (isu) pertama yang saya jangka akan dibahaskan dengan hangat. Kedua adalah penetapan tarikh untuk pilihan raya umum (PRU15). Itu pun akan menjadikan perbahasan hangat.
“Saya (juga) menjangkakan perkara ketiga akan dibahaskan esok (hari ini) adalah isu pelantikan menteri besar Johor. Tidak banyak akan berubah (walau dibahaskan) tapi isu itu akan jadi hangatlah,” katanya.
FMT turut melaporkan sumber sebagai berkata, perwakilan Johor dijangka tidak mengambil bahagian dalam perbahasan PAU kali ini.
Menurut sumber itu lagi, Hasni juga menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19.
Leave a Reply