VETERAN politik, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mendapat penghormatan daripada UMNO meskipun beliau hanya memegang jawatan Naib Presiden.
Beliau mengemukakan pandangan tersebut sebagai teguran kepada pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri.
“Saya ingin menegur pemimpin-pemimpin UMNO tentang layanan kepada Ismail Sabri.
“Beliau adalah ketua kerajaan Malaysia walaupun dalam parti hanya Naib Presiden UMNO.
“Justeru perlu diberi kehormatan dan tempat yang sewajarnya. Satu pandangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Pandangan itu dipercayai susulan penularan video menunjukkan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) meraikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Dalam klip video berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat menarik tangan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada asalnya berada pada kedudukan agak terlindung untuk berada di tengah.
Tindakan itu menyebabkan Ismail Sabri yang pada awalnya jelas berada di tengah-tengah barisan dilihat terpaksa berganjak sedikit ke belakang dan agak terlindung.
Leave a Reply