PM umum kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan akan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya yang mengumumkan perkara tersebut hari ini.

Katannya, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan daripada segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *