POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura pada 29 sehingga 30 Mac ini bagi tujuan pengumpulan maklumat dan mendapatkan keterangan bersabit siasatan terhadap suami kepada bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pegawai penyiasat kes berkenaan akan ke negara itu selepas Commercial Affairs Department, Singapura memberikan persetujuan.
“Sepatutnya pasukan penyiasat PDRM ke Singapura pada Disember dan Februari lalu tetapi pergerakan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan beberapa faktor termasuk penggantungan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura mulai 23 Disember hingga 20 Januari lalu.
“Selain itu, pegawai penyiasat juga dikesan menjadi kontak rapat dan kemudiannya positif Covid-19 pada Februari lalu menyebabkannya tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke Singapura.
“Selain daripada itu, maklum balas juga belum diterima daripada saksi yang juga warganegara Singapura mengenai kesediaan mereka untuk temubual oleh pasukan penyiasat PDRM,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, PDRM ingin menyatakan bahawa apa juga kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes membabitkan Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.
“PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak, pihak berkuasa di Singapura juga sudah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat dan dokumen secara ‘on intelligence basis’ dengan pegawai penyiasat JSJK.
“Kertas siasatan polis sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Oktober lalu dan arahan diterima daripada jabatan itu untuk PDRM adalah bagi mendapatkan keterangan di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, susulan daripada arahan itu, JSJK berkomunikasi dengan Comercial Affairs Department Singapura untuk pasukan penyiasat PDRM ke republik terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Ia adalah bagi membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 dibuat melalui Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan terhadap Tawfiq dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB ke akaun bank miliknya di Singapura.
“Siasatan kes ini membabitkan keterangan di Malaysia dan juga di Singapura,” katanya.
Pada Ahad lalu, portal berita tempatan melaporkan polis di Singapura menangani segera segala permintaan Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan terhadap suami Zeti Akhtar Aziz, Tawfiq Ayman berkaitan 1MDB.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan berkata, terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan PDRM menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Februari lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan itu antara pertengahan hingga hujung Mac.
Leave a Reply