PENGELUARAN simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diumumkan kerajaan hari ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, lanjutan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut kenyataan tersebut, ia adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020,disusuli i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.
“Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan. Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.
“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera.
Leave a Reply