Pekerja kilang maut dalam mesin bancuh simen yang berputar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pekerja maut selepas termasuk dalam mesin bancuh simen yang sedang berputar di sebuah kilang mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang Industrial Park, Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semasa kejadian pada pukul 11.30 pagi, mangsa, Fenddy Asim, 19, sebelum itu sedang membersihkan mesin tersebut.

“Pada masa kejadian mangsa dikatakan tunduk semasa membersihkan mesin bancuh simen untuk membuat mozek tanpa terlebih dahulu menutup suis utama mesin tersebut, menyebabkan mesin tersebut tiba-tiba berpusing.

“Keadaan berkenaan menyebabkan kepala dan bahu mangsa terkena mesin tersebut. Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut telah bergegas mematikan suis mesin.

“Dia kemudian memanggil rakan sekerja yang lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan klinik berhampiran pada jam 11.35 pagi untuk mendapatkan rawatan awal di Taman Nusa Perintins.

“Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala dan telinga telah disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.

Hasil siasatan awal katanya, mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah berlaku dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat.

Menurut beliau, difahamkan mangsa sudah enam bulan bekerja di kilang berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *